SIRNA AZALI

Cerpen, Sajak, dan ...

Rerumah / Home

Blog ini direka untuk karya penulisan kreatif seperti cerpen, sajak dan sebagainya.

view:  full / summary

KELIRU

Posted on October 18, 2012 at 12:30 PM Comments comments (0)

Keliru

Menerjah ranjau

Terimbas lampau,

Jejak ini ditusuk onak,

Sehingga perih menyusup benak,

Hidup kian porak.

Merentas sempadan

Mengenang yang padan,

Langkah ini berantai dermaga,

Sehingga sarat meresap raga,

Diri kulai pula.

Mana hala nan dituju,

Mana jalan yang diberi,

Tidak pohon subur beribu,

Tidak bunga kembang dihati,

Semuanya tampak keliru,

Keliru ini menyusup jati.

Sirna Azali

17 Oktober 2012

Di Mata Muka

Posted on October 3, 2012 at 3:05 AM Comments comments (0)

DiMata Muka

 

Di mata muka

            Berselimutan cita

            Berentapan raga

Sering berpandangan

            Mata nan bermata-mata

Tancap bertancapan

            Kala rindu

            Kala benci

Tusuk menusuk

            Berperi tiada

            Berjati hampa

Sehingga jelingan

            Menumpah darah

            Merosak raga

Alah tiada beralah

Jaya tiada Berjaya

            Mata merah semata.

 

Sering bertentangan

            Muka yang bermuka muka

Hadap berhadapan

            Andai suka

            Andai murka

Pamer berpameran

            Tulus pekerti

            Sinis budi

Sehingga tampilan

            Berkerutan kekeruan musykil

Rahsia tidak terkunci

Resa tidak terkalam

Akhirnya suram buram

            Bak malam kelam

 

Di muka tidak bermata

Di mata tiada muka

Hanya kelopongan nan lohong.

 

Sirna Azali

1 Oktober 2012

 

MENATAP CERMIN DIRI

Posted on September 27, 2012 at 12:35 PM Comments comments (0)

MENATAP CERMIN DIRI

 

Jasad,

Bukan lalang menari alunan bayu,

Hanya ranting rapuh tersembam ke bumi,

Kepatahan musabab membahu embun,

Kehancuran dibebani hujan memuncah,

Luhur budi punah dimamah gerhana.

 

Jejak,

Tidak dihenti onak berliku

Malah dipasung lenggok tak ranggi,

Tak mampu menerka azimat budi,

Tak utuh menyentuh hati,

Dalam sepi melestarikan puisi,

Dalam sedu melafazkan madah hati.

 

Jiwa,

Semarak bara membelerang,

Tidak ia utusan hasrat terkunci,

Tidak ia dermaga bendungan tali mengalir,

Pawaka bahang desakan helah;

dari lidah tak bersendi,

Api marak paksaan tingkah;

dari hujah tak berani.

 

Kini,

Menatap cermin diri...

 

Bersendiri.

 

SIRNA AZALI

26 September 2012

Jelingan

Posted on September 27, 2012 at 2:00 AM Comments comments (0)

Jelingan

 

Di sudut sana kau

menatap aku,

Disebalik ruang nan kelam.

Kelihatan alismu yang menyeringai

bak menanti

mangsa kelalaian

dalam kejaga-jagaan.

Tancapan itulah yang berlegar dimata masa,

tak akan luput diganti suria.

 

Dari sudut suram itulah kau mengalih pandang,

Tiada terhadang,

Hanya dihidang secupak tajam jelingan,

Sesak sukma menggarap rasa

Dan mengharap nasib,

Jelingan manis itulah petanda yang menanda,

Kerna pada hati nan tertanya-tanya,

Akan dibelenggui kekelabuan warna.

 

SIRNA AZALI

09 June 2011

KALAM

Posted on September 27, 2012 at 2:00 AM Comments comments (0)

Kalam

 

Kalam itu penuh rahsia!

 

Coretan yang berdansa,

Menyurat hasrat

dan pendapat,

Di dada nan rapat

agar tidak sesat.

 

Kalam tidak mengendah

Melakar apa yang terpancar

Di jiwa dengan warna-warna mekar,

Agar cereka marcapada,

Yang duka

Yang suka

Dirakam masa.

 

Andai kalam enggan melarik dakwat,

Berlegarlah dada-dada putih

tiada berkata,

Yang hilang

akan terus hilang,

Yang sesat

akan kesirnaan haluan,

Kemanusiaan pupus keihsanan,

Maka

Yang harus difaham

tidak terhadam.

 

Kalam itu…

Kuasa nan kuat,

Kalam itu...

Kunci tersirat,

Penentu jawapan,

Pembentuk masa hadapan,

Penanda di antara nyata dan halimunan.

 

Kalam harus disemat!

 

SIRNA AZALI

13 Jun 2011

SE(M)PURNAMA RAMADHAN

Posted on September 27, 2012 at 1:55 AM Comments comments (0)

 

SE(M)PURNAMA RAMADHAN

 

Sempurna Ramadhan menjelang,

Kelihatan ruang terluang diufuk mega;

Terbuka gapura syurga,

Tika ini ujian diberiNya,

Membawa insan-insani merenung khilaf

nan mengalir didalam saraf-saraf,

Membimbing sarwa umat menuju ke gerbang azali.

 

Sepurnama Ramadhan nan indah,

Disana!

Disini!

Subuh!

Senja!

Umat seperjuangan

selewa-lewanya melumur dan

mencomor seri bulan;

Leka pada benar,

Lupa pada sinar,

Yang petat terus memetat,

Kendati bulan menyinari malam

balam.

 

Sempurna Ramadhan syahdu,

Lasykar-lasykar berjihad berjuang;

Demi kesejahteraan diri,

Demi kesenangan wangsa,

Demi ketenangan nusa,

Tidak pengertian purnama ini

disalah ganti;

Azali kalam mencatat kalimah

nan terpancar didalam bait-bait firmanNya,

Menuju kearah hakiki,

Penuh bererti tiada tererti.

 

Sepanjang sepurnama Ramadhan indah,

Leraikanlah beban!

Huraikanlah dendam!

Luputkanlah silam!

Moga kesuciannya

dinikmati semua.

 

Sirna Azali

01 Ogos 2011


Malang Pelanduk, Tuah Rusa

Posted on September 27, 2012 at 1:50 AM Comments comments (0)

 

Malang Pelanduk, Tuah Rusa

 

Tak kusangka Rusa

bisa menerjah samudera,

Kini bumi asing nan dipijaknya

bak belantara dibelakang rumah,

Bijak merentas,

Pandai mencantas,

Cepat merampas,

Sedangkan pohon nan rendang tak bisa ia jajahi,

Ini pula gunung dan mega nan tinggi ingin dijejaki,

Sehingga pelanduk asli diusir pergi,

Diarah untuk bertelut menyembah kaki.

 

Entah mengapa Rusa nan sesat

dibentangkan permaidani,

Sedangkan mega nan memayungnya

tidak dijunjungi,

Kasihan amat nasib si Pelanduk,

Hidup merempat dibumi induk,

Nasib terkurung dibawah tempurung,

Rusa kian disanjung!

 

Malang nasib sekalian Pelanduk,

Perah keringat bergantang penuh,

Upah diberi sehelai daun senduduk;

Walhal Rusa liar diberi mulia,

Tidak pun keringat secupak penuh,

Sepohon mangga sebagai cenderamata.

 

Mohd Sophian Bin Mohd Yazid

25 September 2011


SONGKET

Posted on September 27, 2012 at 1:50 AM Comments comments (0)

 

SONGKET

 

Sehelai Songket yang kumiliki,

Tenunannya padat dan kemas sekali,

Benang sulaman bernafas pertiwi,

Indah dijadikan hiasan diri,

Busana nusa dimata azali,

Keagungan tiada terganti.

 

Songket sutera miliki hati,

Dasar merah berjalur putih,

Bunga kejora aneka rasi,

Sabit emas hiasi sisi,

Ikat padan lintang ditepi,

Busana Melayu dianjung seri,

Kedaulatan salasilah kian tersisih.

 

Songket sutera kemegahan jiwa,

Songket tenunan sarwa nusa,

Lahir keringat menemani masa,

Alir darah juangan raga.

 

Ini ia songket asli,

Songket nan senantiasa miliki hati,

Maruah wangsa tiada terganti,

Semangat jati tiada teranggi,

Songket pusaka melewati hakiki.

 

SIRNA AZALI

8 September 2011


PERASAAN DAN UCAP-KATA

Posted on September 27, 2012 at 1:50 AM Comments comments (0)

PERASAAN DAN UCAP-KATA

 

Perasaan dan Ucap-Kata,

Bak sirna liputi dermaga,

Segala laku,

Segala jadi,

Segala bentuk,

Tidak pernah betul,

Tidak pernah sempurna,

Tidak pernah sesuai,

Andai penentunya kalam,

Hasil tafsiran Si Bijak-Pandai,

Laungan dari taksiran Pemburu Dunia,

Yang bernama MANUSIA...

 

Maka,

 

Halal-Haram satwa hanya berlandaskan

Perasaan dan Ucap-Kata,

Tiada diendahkan keluhan akal,

Tiada difahamkan raungan jiwa.

Maka,

Si Ariff seluruh dunia

Menelaah kitab – menutup mata;

Mendengar syarahan – menuli telinga;

Membela ratapan – mengunci jiwa;

Bahkan,

Kesempurnaan Illahi dipersalahkan mereka,

Hanya mengikut Perasaan,

Demi melafaz Ucap,

Pada Kata-kata yang mereka sendiri tidak memahami...

 

SIRNA AZALI

15 Februari 2012

JAUH

Posted on September 27, 2012 at 1:50 AM Comments comments (0)

JAUH

 

Jauh...

Jauh rentas arus,

Jauh terjah wajah,

Jauh titi hari,

Tatkala jauh itu gamit rindu,

Hilang pandang

susuli sepi

dibening mimpi,

Kerna jauh itulah dugaan harapan.

 

Jauh...

Jauh renggang bongkang,

Jauh halang rintang,

Jauh lelah sudah,

Kendati jauh itu tumpas jejak kaki,

Bukan jauh alasan,

Tidak ia sandaran,

Kerna jauh itulah cabaran keimanan.

 

Jauh bukanlah jauh...

Malah jauh itu mendekatkan.

 

SIRNA AZALI

20 Julai 2011


JANJI

Posted on September 27, 2012 at 1:45 AM Comments comments (0)

JANJI

 

Hadir ketenangan mengusap hati,

Lafaz kata nan tidak bersendi,

Madah bercanda dihujung bibir,

Menabur debungaan diatas jerlusan pasir,

Menanti senyuman terukir.

 

Suram alam dikala malam,

Tidak bertulang lidah nan balam,

‘Insya-Allah’ menjeda masa,

Maksud nan disalah guna,

Sirna disebalik gapura sangkala,

Kelabu mewarnai suria.

 

Kata merupa kata,

Lafaz sesedap minda,

Jiwa kosong semata,

Penyesat insan,

Pemutus harapan,

Peragut kepercayaan,

Usah pula dibiar ia

mematri warna

pada tunggak

nan tidak berpasak.

 

Yang hadir hanya debu,

Yang lahir bak angin lalu,

Yang mampir sebak dan sendu,

Punah semangat nan diseru.

 

Itulah JANJI si pemburu...

 

Sirna Azali

09 September 2011


UMMI

Posted on September 27, 2012 at 1:45 AM Comments comments (0)

UMMI

 

Berpurnama hayatku dibelenggui noda,

Berkelana tanpa arah tuju,

Mencari diri bersendiri,

Demi mengenal manikam dari kaca;

Tiada insan menyelami qalbu,

Sebaik...

Ehsan yang digelar Ummi...

 

Sepanjang menerjah marcapada

Nan dihiasi onak;

Berbagai cubaan dan dugaan

Mengeruhi benak;

Terpahat madah indahmu

Sebagai semangat berdikari;

“Ummi akan sentiasa di sisi.”

 

Ummi! Berabad dikau melalui hayat;

Perih...

Getir...

Pahit...

Manis...

Telah sebati dalam nadi;

Lelahmu membangunkan kami

Sebagai pertiwi wangsa,

TIADA TERSIA!

Kendati terkadang terluka,

Tetap dikau memandikan kami dengan

Kasih ikhlasmu,

Tetap dikau mencurahkan

Benih-benih kepercayaanmu.

 

Dewasa kini,

Kami menjejaki dan melalui

Setiap kedutan nan menghiasi wajahmu,

Kami melangkah dan menjalani

Setiap urat uban yang mengisi sanggulmu,

Dan terus memahami keteguhan

Pada ketaran langkahmu...

 

Terima kasih Ummi!

 

SIRNA AZALI

03 Mei 2012

KAMPUNG ITU

Posted on September 27, 2012 at 1:45 AM Comments comments (0)

Kampung Itu

 

Di hulu tebing itu,

Anak-anak berlari-lari anak

Ke hujung dan keliling kampung

Mencari ria

Mencari riang

Mencari bahagia

Segala jua nan menghibur sukma,

Kian kelihatan mahupun kedapatan

Disebalik bumi gembur nan dilitupi sampah dan sisa

Yang kini

Bak tempat riadah

Bak dapatnya sesuap santapan.

 

Di tengah paya itu,

Kelihatan susuk-susuk bongkok

Merangkak-rangkak

Menebas-nebas dedaun nyiur kering

Membuat teduh

Membuat bumbung

Memayungi pasak-pasak goyang

Berdinding kekotak rosak

Berbumi papan retak,

Yang pasti

Sebagai istana syurgawi

Sebagai balairung penyemadian diri.

 

Di hilir muara itu

Ibu-ibu dan ayah-ayah

Menyelodok dan menyangkong amat,

Cuba mengeringkan keringat

Yang mengalir sangat

Dari menitis membasahi bumi fana;

Tatkala,

Memetik buah-buah kecut

Menuai sayur-sayur reput,

Yang terkadang dimamah ulat

Yang kian ditumbuh kulat

Sebagai masakan petang

Sebagai pengisi perut malang.

 

Namun,

Kampung itu jua dinamakan dunia

Yang mana anak-anak mengenali nyata

Bukan dari kaca mata dusta.

 

Sirna Azali

21 Januari 2011

MUNGKINKAH ZAMAN INI...

Posted on August 26, 2011 at 3:40 AM Comments comments (0)

MUNGKINKAH ZAMAN INI…

Inilah ia zaman ilmu,

Zaman pengetahuan,

Zaman pengalaman,

Zaman pembebasan,

Khalifah dunia mendarjatkan buku,

Pendita asaskan Koran,

Demi membentuk lasykar

Nan junjungi teknologi

Nan utamakan ekonomi,

Sehingga

Etika kemanusiaan dibiar tersadai.

Zaman ini zaman pengumpulan,

Zaman kejadian,

Zaman cerminan,,

Zaman keliaran,

Terlukis diwajah anak-anak Adam,

Bimbang tak terpendam,

Melihat pengikut-pengikut Lut,

Nan dimamah wabak,

Merata-rata anak-anak wangsa beranak-pinak,

Menyerah raga,

Memberi mahkota,

Persis margastua nan bentak bila ajar jinak.

Mungkin ini zaman malapetaka,

Zaman musibah,

Zaman penutup gapura masa,

Masa mana syair penyair sumbang bimbang,

Masa mana halal bilal berperam haram,

Masa yang hanya ditentu bukan dipasti,

Yang patut enggan diikut.

Zaman ini mungkinnya,

Zaman peralihan,

Zaman perubahan,

Zaman kepupusan…

Mungkinkah zaman ini….

Sirna Azali

23Ogos 2011

JENDELA (SAJAK AIDILFITRI 2011)

Posted on August 26, 2011 at 3:40 AM Comments comments (0)

JENDELA

Dari jendela kuterlihat lahirnya si bulan nun jauh diambang angkasa,

Nan luas meluas dihiasi geridipan kejora,

Setelah sepurnama sarat memenuhi syarat.

Nun disana buntu arah jalan.

Dari tirai jendela,

Kumelihat sarwa alam dihiasi pelita berpancawarna,

Debungaan mekar disana-sini,

Permaidani segar membentangi bumi.

Dari tirai indah itu,

Kumendengar nyanyian satwa,

Sorakkan dan tempikkan menyambut tibanya si bulan,

Kemeriahan yang bersungguh,

Sedangkan si ibu kian malap dalam gelap.

Dari jendela kelabu itu,

Gusar mencengkam sanubariku,

Seluruh maya riang ketawa,

Sedang aku meratap sayu,

Lalu kukatup rapat jendela itu,

Tak ingin melihat ketaksaksamaan bermain dialis mata,

Tidak ingin menanggung pilu nan mengamit jiwa,

‘Pabila si ibu membawa hati,

Tika anaknya disanjung tinggi.

Diluar jendela itu,

Si Al-Mubarak tersenyum manja,

Menatap alam bersuka ria,

Namun hadirnya persis nasib ibunya hanya seketika,

Margas alpa kewujudannya.

Kukatup jendela masa,

Tidak bulan ataupun kejora,

Menentu segala kebahagiaan,

Memangkin masa hadapan,

Tidak apa jua disebalik jendela itu perluku endahkan.

Tutuplah jendela itu,

Wahai anakku…

Sirna Azali

22 Ogos 2011

DIPERSIMPANGAN

Posted on August 26, 2011 at 3:35 AM Comments comments (0)

DIPERSIMPANGAN

Dipersimpangan,

Hala cambah mekar,

Haluan tiada harapan,

Nun disana buntu arah jalan.

Dipersimpangan,

Raga tambah gusar,

Ragu dalam dada,

Nan dirantai mainan noda.

Dipersimpangan,

Beribu persoalan,

Berbagai dugaan,

Kian kehanyutan dalam selautan perasaan.

Dipersimpangan,

Berjudi nasib diri,

Bertaruh hasrat dinanti,

Dan kepastian kelam kesirnaan.

Dipersimpangan,

Terkubur ucapan janji,

Terbenam ke alam mimpi,

Jika keteguhan hanya bersepoi-sepoi pawana.

Dipersimpangan…

Sirna Azali

24 Ogos 2011

BENTAK HAYAT

Posted on August 26, 2011 at 3:35 AM Comments comments (0)

BENTAK HAYAT

Malang bukan mendung marak,

Patah enggan dahan-dahan rapuh,

Lapar tidak ulat dibatu,

Suratan jangan ditangan jalang.

Hayat sudah disurat,

Terang-suram telah dikalam,

Madah hati mainan lidah,

Nasib usah dibibir nista.

Aksi hanya dipentas dunia,

Dendang sebagai dondangan nada,

Tari hiburan dimata masa,

Tanggapan enggan dimata dusta.

Laung sekhutbah gurindam perasaan,

Kata beralun sepuisi dunia,

Teriak angkara si lidah liar,

Usah dengar dikuping sendat.

Pemahaman margas tidak selaras,

Tidak selurus,

Tidak selari,

Tidak seputih,

Pengetahuan mereka dalam sangkaran.

Sirna Azali

25 Ogos 2011

KEMBOJA SUBUR

Posted on August 26, 2011 at 3:35 AM Comments comments (0)

KEMBOJA SUBUR

Bak serumpun kemboja subur dalam genggaman,

Diberi tidak terhulur,

Dimandi bukan berlulur,

Dihati tiada berluhur,

Kendati pagi menjengah subur,

Putih-harum lagi sang Melor,

Gugus kemboja gugur kedana.

Kemboja subur tiada terjulur,

Dijulang pulang enggan diminta.

Kemboja kulai tiada terbelai,

Dihembus bayu selerak tersurai.

Andai kemboja perkasa dimata masa,

Tidak ia gugur hampa.

Sirna Azali

16 Ogos 2011

Khabar Si Angin

Posted on March 20, 2011 at 2:22 PM Comments comments (2)

Khabar Si Angin

Angin menderu di lautan Mediterranean. Deruan itu berbaur hangat dan sejuk, sehinggakan ia membangkit ombak dan gelombang. Ia menderu akan perkhabaran pada seluruh pemukaan air. Khabar yang tidak menyenangkan penghuni-penghuni di dasaran. Khabar yang tidak dapat menenangkan gelora. Namun, Angin tetap bersepoi-sepoi menyampaikan berita.

“Apa? Benarkah apa yang telah kau katakan itu?” tanya Anak Udang kepada Air Asin.

“Betul. Angin yang khabarkannya kepada aku. Si ketua Udang Mengkara itu tergila-gilakan kuasa,” gelora Air Asin, “bukan itu sahaja, Angin menambah lagi bahawa golongan Udang-Udang Mengkara hendak membasmi udang-udang yang kecil. Bermula dengan Udang Geragau, Pepai, Kertas dan Siar, kemudiannya Udang Lubuk, Udang Harimau, Udang Galah dan Udang Laut Lebar.”

“Huh!? Dah gilakah si ketua Udang Mengkara! Tamakkan kuasa sehingga kami semua yang tidak berdosa ini mahu dianiayainya,” jawab Anak Udang dengan nada berbuih marah.

“Itulah apa yang dikatakan oleh Angin. Bahkan, dia mengesyorkan agar segala udang-udang di lautan dan di sungai menentang Udang Mengkara dengan membentuk suatu kuasa yang menginginkan reformasi dan kepimpinan yang berdiplomatik,” sambung Air Asin penuh keyakinan.

“Baiklah! Aku akan sampaikan berita ini kepada segala udang-udang agar dapat membentuk kumpulan-kumpulan pengacum. Sekiranya itu yang diinginkan oleh ketua Udang Mengkara, kami akan lakukan segalanya sehinggakan dia turun takhta!” bentak Anak Udang.

Anak Udang menggunakan buih-buih dilautan untuk mengirim perkhabaran kepada semua udang-udang dilautan. Perkhabaran untuk mengadakan mesyuarat agung dipercelahan rumpai-rumpai laut berdekatan dengan persisiran pantai Hurghada, Mesir.

Disidang mesyuarat itu, Anak Udang memberitahu segala yang didengarinya daripada Air Asin, yang disampaikan oleh Angin mengenai tujuan ketua Udang Mengkara. Dia berjaya membentuk kumpulan reformasi yang besar untuk menentang Udang-Udang Mengkara.

Malangnya, dikalangan udang-udang yang ada, golongan Udang Galah enggan menyertai kumpulan itu. Disebaliknya, Udang-udang Galah beredar dan menuju ke kawasan batu-batu karang berdekatan dengan perairan Australia. Di sana, kepala Udang Galah menemui ketua Udang Mengkara. Dia mempersembahkan segala rancangan udang-udang dilautan yang telah merangcang untuk menentang Udang-Udang Mengkara.

“Cis! Berani benar udang-udang itu semua memberontak tanpa mengusul periksa!” bentak Ketua Udang Mengkara.

“Benar tuan. Kata Anak Udang, Angin yang telah memburuk-burukkan nama baik tuan,” tambah si Udang Galah.

“Memang bodoh si udang-udang itu semua! Mudah sahaja dipermainkan oleh Angin. Tak mengapa, aku akan cuba menerangkan hal yang sebenar.”

“Tuan, sekiranya mereka enggan menerima penerangan tuan, bagaimana?” soal kepala Udang Galah.

“Sekiranya mereka masih berkeras, peranglah jalan penyelesaian. Kita akan menunjukkan kepada mereka betapa berkuasanya kita semua,” jawab ketua Udang Mengkara.

Tatkala mentari subuh munculkan diri dari ufuk timur, segala udang-udang dilautan bertemu muka berdekatan dengan selat Banghazi. Mentari menjingga dari tabir tatkala melihat persemuakaan yang memutihkan mata. Udang-udang enggan berbincang mahupun mendengar penjelasan.

Hari demi hari, pergelutan di antara Udang Mengkara dan Udang Galah bersama udang-udang di lautan semakin menjadi-jadi. Malangnya, udang-udang kecil banyak terkorban dek peperangan itu. Di antara yang menjadi korban ialah udang-udang anak, udang-udang betina dan udang-udang tua. Nyata, serangan udang-udang Mengkara dan udang-udang Galah terlalu hebat kerana mereka bersenjatakan penyepit dan berperisaikan kulit tebal. Sedangkan udang-udang yang banyak terkorban itu hanya menggunakan pedang yang terletak di antara sesungut mereka. Pedang yang nyata tidak berkemampuan untuk melukakan Udang-Udang Mengakara dan Galah.

Sementara itu, di sekitar bumi Arabia, kaum Gurun dan kaum Palma sedang berperang. Khabarnya, kaum Palma tidak berpuas hati apabila kaum Gurun dikatakan telah merancang hendak menakluk bumi Palma dan mengisinya dengan debu dan pasir.

“Usah kalian mencabar kami! Jangan berani kalian membesarkan sempadan bumi fanah kalian secara haram!” bentak tentera Palma.

“Hei! Berani kamu menggoyangkan pohonmu tanpa bukti yang kukuh! Kalau Angin tidak mendebukan berita tentang kaum kamu yang ingin menakluk bumi Gurun, sudah tentu tidak akan terjadi perbalahan ini!” sangkal Pembela Gurun.

“Oh! Kalian ingin menyirnakan kesalahan kalian dengan menyalahkan si Angin. Nyata betul apa yang dikatakan Angin, bahawa kaum Gurun bijak mengelamkan kenyataan,” kata Pohon Palma Muda, “terbukti juga kesalahan kalian apabila sisa-sisa debu dan pasir perlahan-lahan membentangi persekitaran bumi kami yang dahulunya hijau berpermaidanikan rerumput.”

“Bumi kamu yang dahulunya hijau, kini diselaputi debu dan pasir adalah angkara Angin. Dialah yang telah meniup debu dan pasir kami. Bukan itu sahaja, kamu harus sedar yang Ratu Bumi sedang sakit. Jadi tidak hairanlah jika kehijauannya kepupusan.” Kata Pembela Gurun.

“Aaahhh!! Kami tidak percaya itu semua! Cukup sudah beralasan!”

Angin yang melihat sandiwara itu semua, hanya tersenyum dan bersepoi-sepoi kegembiraan. Dia sedar yang rancangannya untuk menakluk dunia sedang berjalan dengan lancar. Dia berjaya meruntuhkan bumi Arabia dan melagakan kaum-kaum Udang. Ini semua demi melemahkan jati diri mereka.

“Hahaha! Hebat sekali cereka ini. Hebat melihat mereka semua kegoyahan. Tidak aku sangka, aku mampu melemahkan mereka. Mungkin, inilah masanya untuk aku kuatkan hembusanku.”

Kini, gerak Angin semakin kencang. Dia membuat ribut dan taufan melanda di setiap pelusuk bumi, sehinggakan terjadi perbalahan, pergolakkan, pergelutan dan peperangan dikalangan penghuni bumi. Ayam-ayam kampung bercerai-berai selepas bertaji. Bunga-bunga Raya terkulai layu menyembah bumi. Lada-lada Padi melepaskan bahang dan pedasnya di antara lada-lada yang ada dibuminya. Bukan itu sahaja, bahkan Singa-singa Tua membaham anak-anaknya sendiri. Semuanya ini terjadi dek deruan Angin.

Kekejaman si Angin telah mendapat sokongan daripada Helang dan Awan. Melalui gabungan tenaga ini, mereka meluncurkan rancangan untuk menakluk dunia. Mereka ingin menampak dan membuktikan kepada semua bahawa mereka merupakan kuasa tunggal di dunia.

“Ayuh! Sambar semua yang hidup! Makan yang mana kamu mampu. Selagi mereka tidak menyembah pada kami semua, jangan memberi belas!” arah Helang kepada tentera-tenteranya.

“Ya! Teduh kawasan ini. Jangan beri sedikit cahaya ataupun hangat mentari dari mendakap bumi. Biar mereka lemah! Biar mereka mati! Kalau boleh, hujanilah mereka sehinggakan terjadinya bah yang tidak terkawal,” tambah Awan.

Helang dan Awan mengerahkan bala tentera mereka untuk memerangi Tikus-tikus Mondok dan Pohon-pohon Kurma, sambil meluncur Angin untuk nasihat. Tikus-tikus Mondok dan Pohon-pohon Kurma telah ditawan. Ini adalah kerana mereka telah cuba memberitahu dunia akan rancangan buruk si Angin bersama kawan-kawannya.

“Hei! Helang dan Awan, mengapa kalian begitu zalim sekali? Bukan sahaja telah kamu memusnahkan anak-anak dan menggantung ketua kami, malah perbuatan kalian telah merosakkan akhlak umat bumi!” herdik keras Mondok Tua.

“Haha... Wahai Mondok Tua, tak guna kau berkeras dan melawan Angin. Sembah sahaja pada kami. Kalau tidak, kamu semua akan menjadi santapan kami,” jawab Helang selamba dan sinis.

“Tidak! Kami tidak akan sembah kalian yang durhaka. Kamu semua boneka pada si Angin! Kamu semua pengampu! Kamu semua tidak bermaruah! Kamu semua tamak!” bentak Pohon Kurma.

Secepat kilat, Helang menyambar Mondok Tua dan mencekiknya. Kelancangan Pohon Kurma telah membuat Awan marah. Awan meneduhi Pohon Kurma itu dan menghindarnya daripada menerima zat-zat serta hangat daripada mentari. Lama-kelamaan, Pohon Kurma terkulai layu dan mati.

Mentari, Bulan dan Bintang yang telah lama melihat kecurangan Angin dan pengikutnya, mula hilang sabar. Kala siang ataupun malam, mereka tegar memancarkan cahaya ke bumi untuk membimbing anak-anak bumi yang kehilangan arah dan punca. Mereka menerangi yang nyata dan membongkar segala penipuan serta kekejaman yang dilakukan oleh Angin dan teman-temannya.

Malangnya, tidak semua penghuni bumi dapat melihat cahaya dan dapat berfikir secara logik. Kerana terlalu mengikutkan nafsu masing-masing dek termakan kata-kata Angin, mereka tidak mampu berfikir secara rasional yang akhirnya meletuskan perbalahan.

“Aduhai Sang Bintang, mengapakah harus ianya terjadi begini? Mengapa amat sukar untuk meyakinkan penghuni bumi yang mereka telah tertipu, bahawa khabar berita si Angin tidak berasas!” Keluh Bulan tika mengambang sayu.

“Beginilah Bulan, kita telah melakukan segala yang termampu. Usahlah kita berputus asa, kerana telah menjadi tanggungjawab kita untuk menyinarkan kebenaran. Lambat laun mereka akan sedar jua,” jawab Bintang Utara dengan penuh keyakinan.

Sambungnya lagi, “mujur Helang, Awan dan Angin tidak mampu membodohi atau menganiayai kami. Maklumlah, mereka tidak berdaya untuk menembusi atmosfera bumi.”

“Betul kata kamu. Kalau tidak, kami sudah tentu menjadi mangsa mereka,” jawab Bulan spontan.

Begitulah keadaan Bulan dan Bintang. Setiap malam cuba menegah perbalahan dan menampakkan kejahatan si Angin yang durjana. Yang setiap hari cuba membuka hati mereka yang terlalu mudah termakan akan kata-kata Angin yang tidak berasas.

Adakalanya Bulan kegerhanaan kerana terlalu sedih melihat perbalahan dan peragutan kuasa yang berlaku disetiap pelusuk bumi. Malangnya, begitulah akan dilihat mereka setiap hari sekiranya umat bumi enggan menyelidik dan berbincang serta apabila memudahkan diri mereka dihujani khabar-khabar dari Angin.

Mohd Sophian

(10 March 2011)

CHOICES

Posted on March 16, 2011 at 10:17 AM Comments comments (0)

CHOICES

YOU!

have a choice,

To choose

a directed life,

Or to forever

dwell in the Devil’s arm

Awaiting

the darkened path to light up.

YOU!

have that choice,

In leading a world

Decisively,

Or having the entire universe

collapse

in the cradle of your

EGO.

YOU!

have THE choice,

To weave a beautiful rug,

For your feed to stride on,

Or to painfully

stomp across

that cold,

hard, and

worn-out path,

laid out for all.

YOU!

do deserve to choose,

For the choice of choose

you enjoy

serenity,

beauty and

happiness

and it is

YOURS to celebrate.

Mohd Sophian Mohd Yazid

16 March 2011


Rss_feed

Mukadimah

0 comments
0 comments
0 comments
0 comments

Video Terkini / Recent Videos

No recent videos

Karya Sirna Azali a.k.a Sirna Kalam Maya a.k.a Mohd Sophian

Super Share

Share on Facebook

Realtime Clock

Tetamu Sirna

Kata-kata Hikmah

Quote of the Day

The Humane Society

Fight Cancer

Google+ Web Search

Subscribe To Our Site

Send to a friend

Super Share

Share on Facebook

Google +1 Button